Dinilai Secara Proaktif Berpandukan Prestasi Pusat Servis Audit 4M

12 Mar Dinilai Secara Proaktif Berpandukan Prestasi Pusat Servis Audit 4M

PEMERIKSAAN Audit 4M merupakan penilaian prestasi berpandukan kepada empat kriteria iaitu ‘Method’ atau Kaedah, ‘Manpower’ atau Tenaga Kerja,‘Machine’ atau Peralatan dan ‘Material’ atau Bahan. Audit 4M adalah sistem yang diperkenalkan oleh Proton Edar untuk semua Cawangan Servis Proton Edar dan Wakil Servis Proton Edar. Oleh kerana Pusat Servis Wilayah (PSW) Batu Caves dan Bangi merupakan wakil servis sah kepada Proton Edar, maka secara langsung SPANCO telah mempraktikkan sistem
tersebut. Kedua-dua pusat servis utama SPANCO itu turut diaudit oleh Proton Edar berpandukan Audit 4M. Pemeriksaan dan penilaian pusat servis diiktiraf (PSD) seluruh Malaysia menggunakan sistem itu telah dilaksanakan sejak 1 Disember 2014 iaitu
susulan penganjuran latihan amali dan praktikal oleh Jabatan Pengurusan Kualiti Proton Edar di PSW Bangi pada 20 November 2014.

Audit 4M dilakukan bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam ekosistem SPANCO dapat mengguna satu kayu pengukur dan menghasilkan standard kualiti yang sama. Ini amat penting bagi mewujudkan kesefahaman dan kesinambungan dalam memastikan kualiti servis terjamin untuk pelangganpelanggan. Audit dilakukan secara proaktif di mana SPANCO akan memeriksa dan menilai PSD dari masa ke semasa secara berjadual setiap bulan tanpa sebarang notis. Bagaimanapun pihak Kementerian Kewangan akan dimaklumkan terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar keadaan sesebuah pusat servis dan menilai secara telus tanpa sebarang prejudis.

Kriteria Audit 4M

    1. Method (Kaedah)

Pengurus pusat servis perlu menentukan jumlah kereta yang akan diservis dan pekerja yang dipertanggungjawabkan. Kaedah paling berkesan akan ditentukan untuk setiap peringkat penugasan bagi memastikan kerosakan ke atas kereta yang diservis dan pembaziran masa serta tenaga kerja dapat dielakkan. Mengawal pembaziran adalah kunci utama kepada servis yang efisien

    2. Manpower (Tenaga Kerja)

Setelah kaedah dikenal pasti, jumlah tenaga kerja yang diperlukan dan jawatan yang sesuai untuk setiap peringkat tugas perlu dikenal pasti. Pekerja hendaklah dilatih dan dinilai prestasi mereka serta tempoh kitaran untuk setiap peringkat tugas
dioptimumkan.

    3. Machine (Peralatan)

Dari segi kemudahan, kenderaan dan peralatan pusat servis, keselamatan pekerja perlulah dijamin dan, pada masa yang sama, kecekapan dan produktiviti mereka dipertingkatkan. Pekerja hendaklah diberikan peralatan yang diperlukan untuk menyempurnakan tugas mereka secara berdikari. Latihan untuk menyelenggara peralatan dan jentera juga mesti disediakan.

    4. Material (Bahan)

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan perlu disediakan dengan secukupnya dan diletakkan di lokasi yang sesuai. Sebagai contoh, kesemua bahan yang digunakan untuk kerja pembersihan sentiasa tersedia di dalam pembungkusan yang mudah dicapai bagi mengurangkan pembaziran pergerakan di pihak pekerja.

Keputusan Penilaian

Setiap aspek 4M akan dinilai antaranya kemahiran dan kemesraan pekerja; peralatan berada dalam keadaan baik dan diselenggarakan secara berkala; ruang berkeadaan selesa dan bersih; prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, dan alat ganti tulen diguna dan diuruskan dengan baik. Hasil keputusan penilaian akan dibincangkan bersama dengan pemilik atau pengurus pusat servis dan jika didapati terdapat kelemahan, Jabatan Audit SPANCO akan mengeluarkan notis peringatan. Tempoh akan diberikan kepada PSD untuk
memperbaiki kelemahan itu dan penilaian akan dilakukan semula bagi memastikan ia diperbaiki.

Manfaat Kepada Pelanggan-Pelanggan SPANCO

Sistem Audit 4M adalah berpaksikan pada kualiti secara keseluruhannya, baik dari segi pengurusan luaran mahupun dalaman sesebuah pusat servis. Dengan mewujudkan piawaian yang sama di semua rangkaian PSD dapat memastikan pelangganpelanggan
SPANCO yang berada di luar kawasan tengah turut diberikan tahap layanan dan mutu servis yang sama seperti apa yang mereka terima di PSW Batu Caves dan PSW Bangi.