01 Oct JALINAN KERJASAMA DAN PERASMIAN PROGRAM ANTARA ILPKL DAN SPANCO SERVICES SDN BHD

Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan perasmian program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) antara Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL) dan SPANCO Services Sdn Bhd telah diadakan buat julung kalinya di Auditorium Peru Mohamed, ILPKL, baru-baru ini.

 

 

Pada majlis MoU ini menyaksikan kerjasama antara Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia dengan pihak SPANCO iaitu merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan armada atau fleet management yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam melatih tenaga kerja mahir yang diperlukan negara.

 

 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri mewakili Ketua Pengarahnya, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, kerjasama di antara ILP KL dan SPANCO dalam melaksanakan SLDN merupakan salah satu kaedah latihan bercorak perantisan atau apprenticeship yang diinspirasikan dari negara Jerman.

 

 

“Melalui SLDN kerajaan dan syarikat saling bekerjasama dalam melahirkan pekerja berkemahiran menerusi kaedah latihan komprehensif dan terkini merangkumi 3 kompetensi iaitu teknikal, pembelajaran dan metadologi serta kemahiran sosial dan kemanusiaan.

 

 

“Salah satu objektif SLDN ini adalah bagi melatih perantis menjadi pekerja yang kompeten iaitu memenuhi keperluan kemahiran mengikut spesifikasi dan piawaian yang diperlukan oleh syarikat daripada pekerja,” katanya.

 

 

Menariknya, dalam majlis ini juga turut meraikan 10 perantis baharu SPANCO yang terpilih iaitu Hafiz Haizad Jalimi, Muhammad Ashraf Bahari, Muhammad Khairil Hazim Kosim, Muhammad Aidil Sollehin Rahmat, Muhammad Azan Ezhan Johari, Muhammad Nor Idzham Zainul Abidin, Baharudin Ishak, Nasirudin Ishak, Muhammad Hilman Mohd Rosli dan Nu’man Haroth Syafei.

 

 

10 perantis ini terpilih untuk mengikuti kursus Automotive After Sale Servicing Tahap 2 selama 9 bulan bermula 4 September 2018 dan tamat pada Jun 2019 iaitu 5 bulan menjalani kursus di ILPKL dan 4 bulan lagi di latihan tempat kerja SPANCO. Para perantis ini turut menerima elaun bulanan, insurans, makan dan minum serta penginapan percuma sepanjang tempoh latihan di ILPKL.

 

 

Bagi pasangan kembar, Baharudin dan Nasirudin, 22 tahun, tidak menyangka rezeki mereka terpilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Spanco. “Alhamdulillah, sebelum ni macam-macam kerja kami buat, tetapi dengan adanya peluang yang diberikan ini, kami akan berusaha bersungguh-sungguh dan ingin mengubah nasib kami ke arah yang lebih baik. Insya Allah kalau dah cukup kemahiran dan kepakaran mana tahu ada rezeki, kami merancang untuk buka bengkel sendiri kelak,” kata Nasirudin.

 

 

Dari kiri, Abd Halim Ali Mohammed, Pengarah Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL), Datuk Azman Haji Idris, Ketua Pegawai Operasi Spanco Sdn Bhd, Zaihan Shukri, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Peter Lim, Pengarah Eksekutif Spanco Services Sdn. Bhd. Irwan Iskandar Haji Ismail, Pengurus Besar SPANCO Services Sdn. Bhd bersama 10 perintis yang diraikan

 

Ketua Pegawai Operasi Spanco, Datuk Azman Haji Idris mengharapkan para perantis yang terpilih ini menggunakan peluang yang diberikan untuk membina kerjaya cemerlang dalam bidang automotif demi mengubah nasib dan mencorak masa depan.

 

 

“Peluang kerjaya serta keusahawanan dalam bidang automotif amatlah luas. Selain bekerja makan gaji, tidak mustahil ada yang bakal mengusahakan rangkaian bengkel sendiri suatu hari nanti. Diharapkan usaha anda akan terus memberi manfaat dalam membangunkan modal insan untuk negara maju,” katanya.

 

 

Majlis turut di hadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Zaihan Shukri, Pengarah ILPKL, Abd Halim Ali Mohammed, Ketua Pegawai Operasi SPANCO Sdn Bhd, Datuk Azman Haji Idris, Pengarah Eksekutif Spanco Services Sdn Bhd, Peter Lim dan Irwan Iskandar Haji Ismail, Pengurus Besar SPANCO Services Sdn Bhd.