18 Sep Penjagaan kereta automatik

PENJAGAAN KERETA AUTOMATIK

 

Ikuti tips penjagaan kereta anda seperti langkah-langkah di bawah:

 

1) Kebiasaannya kereta AUTO ada enam “langkah” gear. Bermula dengan P, R, N, D, 2, L (bergantung kepada model kenderaan) kebiasaannya tiga langkah di bawah “N” nombornya berlainan tetapi fungsi tetap sama.

 

Sewaktu hendak menghidupkan enjin selepas dimatikan lebih enam jam, hidupkan suis dahulu (jangan hidupkan enjin) pastikan semua lampu panduan di meter menyala. Kemudian gerakan gear setiap langkah bermula daripada paling atas hingga ke paling bawah.

 

Setiap langkah perlu berhenti 2 saat. Kemudian daripada paling bawah naik kan ke “N”, (pastikan brek tangan ditarik sekuat-kuatnya) dan hidupkan enjin. Biarkan gear di “N” sahaja sehingga anda menggerakkan kenderaan. Biarkan selama 5 minit, jika 6 jam dan 10 minit jika 7 jam ke atas.

 

Bergantung kepada suhu meter, pastikan meter suhu naik 25 peratus sebelum memulakan perjalanan. Tujuannya untuk memastikan semua pintu gear terbuka dan mengelakkan karat berlaku di pintu-pintu gear yang jarang digunakan.

 

Kebiasaanya pemandu akan menggunakan langkah “D” sahaja, manakala langkah-langkah lain jarang digunakan atau tak digunakan langsung. AWAS!!! Petua ini tidak sesuai dilakukan di kawasan berbukit, pastikan di tempat yang rata sahaja.

 

2) Minyak AUTO dan AUTO Filter hendaklah ditukarkan setiap 30,000 km atau enam bulan (yang mana dulu). Ini amat penting dilakukan mengikut jadual. Sebenarnya AUTO filter perlu ditukar apabila dua kali tukar minyak AUTO.

 

Namun lebih baik ditukar setiap kali anda menukar minyak AUTO, kerana mekanik akan membuka semua takung minyak AUTO (bergantung kpd model kenderaan) dan bersihkan sebersih-bersihnya. Elakkan tukar minyak AUTO tanpa membuka takung minyak AUTO.

 

Ini kerana hendak mengelak adanya bendasing atau air dalam takung minyak AUTO. Jika dibiarkan terlalu lama ianya boleh memudaratkan kotak gear. Pastikan minyak AUTO dan filter yang digunakan tulin dan ianya menepati spesifikasi kenderaan anda.

 

Elakkan mengguna barang tiruan kerana ia memberi kesan yang tidak bagus untuk jangka masa panjang (harga murah tetapi selepas 3 hingga 4 tahun lagi anda merana).

 

3) Pastikan kaki anda tidak menekan brek dan gear berada di kedudukan “D” semasa berhenti di lampu isyarat, di mana-mana sahaja atau dalam kesesakan lalulintas yang teruk. Pastikan diletak di “N” sahaja dan tidak di “P”kerana ia boleh menyebabkan anda lambat memulakan perjalanan dan menyebabkan orang di belakang anda marah. Oleh sebab itu langkah “N” dan “D” diletak berdekatan dan tak memerlukan anda menekan butang lock @ tombol antara gear untuk bergerak (butang tepi batang gear bersama butang OD).

 

Jika anda mengamalkan budaya kereta dalam gear dan tekan brek, boleh menyebabkan clutch plate cepat habis atau terbakar. Jangan sangkakan kereta AUTO tiada clutch plate. Ianya ada berbelas-belas keping (bergantung kpd model kenderaan).

 

4) Sewaktu hendak memulakan perjalanan, selepas anda berhenti di mana-mana sekalipun, mulakan dengan langkah “2” atau langkah kedua selepas “N”. Selepas bacaan meter RPM mencecah 2000-2500 tukar kembali kepada “D” atau satu langkah di bawah “N”.

 

Amalkan begini juga di dalam kesesakan lalulintas kerana dapat menjimatkan minyak anda dan memberi lebih kuasa kepada kereta anda sewaktu hendak mula bergerak. Langkah “2” umpama anda bermula dengan gear “1” untuk kereta manual.

 

Langkah “D” pula ibarat gear “2” atau “3” bagi kereta manual. Maknanya jika anda memulakan dengan “2” langkah kereta anda dapat bergerak dengan “sukarela dan penuh semangat” dan bukan dalam keadaan terpaksa jika bermula dengan langkah “D”.

 

Bila kereta anda mulakan pergerakan dalam keadaan terpaksa lama kelamaan ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada kotak gear dan enjin.

 

5) Elakkan melalui jalan yang ada air bertakung terlalu tinggi atau meredah banjir. Jika terpaksa melalui juga pastikan dalam keadaan lancar atau “satu nafas” sahaja.

 

Jangan sesekali berhenti dalam air bertakung yang tinggi sehingga terkena bahagian bawah enjin. Ini boleh menyebabkan pintu kotak gear anda dimasuki air dan seterusnya boleh menyebabkan minyak AUTO anda bercampur dengan air.

 

Ianya juga boleh menyebabkan clutch plate anda terbakar. Jika anda terpaksa juga melalui jalan yang banjir, pastikan selepas itu anda berjumpa dengan mekanik anda untuk memastikan minyak AUTO tidak bercampur dengan air.

 

6) Elakkan daripada selalu mendaki bukit-bukit yang tinggi terlalu kerap (contoh: Genting Highland)

 

7) Pastikan langkah gear yang ada digunakan dengan baik sewaktu menaiki bukit, sesuai dengan bacaan RPM kereta anda. Jangan paksa kereta anda mendaki bukit menggunakan langkah “D”. Gunakan sepenuhnya dua langkah lagi yang ada di bawah step “D”, sesuai dengan ketinggian bukit tersebut atau bacaan RPM anda.

 

8) Elakkan reversed kereta anda dalam keadaan laju, jarak yang jauh atau terlalu kerap sangat. Gunakan gear reversed anda seminimum yang boleh. Penggunaan gear reversed yang tidak betul boleh menyebabkan kotak gear anda cepat rosak.

 

9) Jangan guna over drive atau OD dalam pemanduan biasa. Gunakan semasa hendak memotong kenderaan di hadapan anda dalam keadaan perlu sahaja.

 

10) Jangan terlalu agresif sewaktu hendak memulakan perjalanan kenderaan anda. Mulakan dengan perlahan-perlahan dan tambah kelajuan berperingkat-peringkat.

 

Jika anda mula dengan agresif bukan sahaja memberi kesan yang tidak baik kepada kotak gear malah juga dapat memberi kesan yang tidak baik kepada timing belt. Inilah salah satu punca timing belt putus sebelum sampai waktu penukaran yang akan datang.

 

Sumber: Raymin Tech