01 Sep Sumbangan Mesin Hemodialisis

Putrajaya, Jumaat, 1 Sept 2017 – Baru-baru ini, SPANCO telah menyumbang 15 unit mesin hemodialisis kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Projek Pengagihan Mesin Hemodialisis Di Hospital-Hospital Kerajaan Terpilih.

Kesemua 15 unit mesin hemodialisis ini telah selesai diagihkan pada 22 Jun lalu dan kini beroperasi sepenuhnya di hospital-hospital terpilih di seluruh negara iaitu Hospital Selayang, Selangor (3 unit), Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (2 unit), Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru (2 unit), Hospital Dungun, Terengganu (2 unit), Hospital Pasir Putih, Kelantan (2 unit), Hospital Pekan, Pahang (2 unit), Hospital Pulau Pinang (1 unit) dan Hospital Alor Gajah, Melaka (1 unit).

 

 

 

 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Datuk Seri Dr. Jeyaindran Tan Sri Sinnadurai, pihak KKM amat berbesar hati atas usaha murni SPANCO ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan sekali gus menyuburkan lagi jalinan kerjasama antara pihak Kerajaan dan swasta.

“Hari ini, terdapat sejumlah 32,667 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis di seluruh negara di mana 10,473 didaftarkan di bawah KKM dan selebihnya di hospital-hospital swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Jumlah mesin yang disediakan oleh hospital swasta, NGO mahupun KKM sendiri adalah 8,167 unit. Setiap tahun, jumlah rakyat Malaysia yang mengalami kegagalan buah pinggang telah meningkat antara dua hingga tiga ribu pesakit,” ujar beliau.

“Pesakit buah pinggang perlu menjalani rawatan selang sehari sebanyak tiga kali seminggu yang mana setiap sesi mengambil masa antara empat hingga lima jam bergantung kepada kes. Berdasarkan kekerapan rawatan dan tempoh tersebut, sebuah mesih hemodialisis mampu menampung sehingga enam pesakit buah pinggang. Kerajaan kini memerlukan 193 mesin tambahan bagi menggantikan unit lama dan 87 unit lagi bagi menambah kapasiti,” jelas Datuk Seri Dr. Jeyaindran.

Pengagihan mesin-mesin sumbangan SPANCO dilaksanakan berpandukan kepada keperluan untuk menggantikan mesin sedia ada yang mungkin sudah usang atau rosak serta menambah kapasiti sedia ada di hospital-hospital tertentu bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit buah pinggang.