
19 Sep SPANCO ANJUR PROGRAM PEMANDUAN DEFENSIF
Kuala Lumpur, Sabtu, 27 Ogos 2016 – SPANCO Sdn Bhd, syarikat penyedia perkhidmatan pengurusan kenderaan menganjurkan Program Pemanduan Defensif SPANCO kepada para pelanggannya daripada sektor awam bertempat di Pusat Pameran Taman Agro Malaysia (MAEPS), Serdang. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPANCO bertujuan mendidik, memberi kesedaran dan meningkatkan kemahiran pemanduan secara selamat dan berhemah di kalangan kakitangan sektor awam khususnya pemandu-pemandu kenderaan konsesi di bawah SPANCO.
Program Pemanduan Defensif SPANCO yang julung kali diadakan ini melibatkan penyertaan seramai 55 kakitangan awam daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang memandu Kereta Rasmi Jawatan (KRJ) dan Kereta Jabatan (KJ) kerajaan secara harian.
Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Dato’ Hamzah Mohd Salleh berkata pada masa ini SPANCO menguruskan lebih daripada 12,000 buah kenderaan salun kerajaan persekutuan di seluruh negara. Dalam menguruskan bilangan kenderaan yang tinggi seperti ini, SPANCO berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk peningkatan jumlah kemalangan yang tinggi di samping kos baik pulih yang semakin tidak terkawal.
“Pada tahun 2015, sebanyak 2,707 kes kemalangan telah direkodkan yang melibatkan kos pembaikan berjumlah RM8.1 juta. Apa yang lebih membimbangkan ialah setakat bulan Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 2,666 kes kemalangan telah dicatatkan dengan kos pembaikan berjumlah RM8.0 juta iaitu jumlah yang hampir sama dengan kos keseluruhan bagi tahun 2015,” jelas Dato’ Hamzah.
“SPANCO mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Pemanduan Defensif ini bagi membolehkan para peserta menimba pengetahuan dan kemahiran. Kami juga sentiasa komited untuk melaksanakan program ini secara berterusan sebagai satu langkah bagi membantu menerapkan budaya pemanduan selamat dan berhemah di kalangan pemandu-pemandu kenderaan konsesi,” ujar Dato’ Hamzah.
Majlis perasmian Program Pemanduan Defensif SPANCO disempurnakan oleh Encik Romli Dai, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan Malaysia. Turut hadir Dato’ Hamzah Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO dan wakil syarikat-syarikat penaja daripada Lonpac Insurance Capital Berhad, TOYO Tyres Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd dan Proton Edar Sdn. Bhd.
Sementara itu, Romli Dai, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan Malaysia berkata pihak kerajaan amat mengalu-alukan usaha yang dijalankan oleh SPANCO.
“Saya yakin program Pemanduan Defensif seumpama ini mampu menerapkan kemahiran pemanduan defensif di kalangan pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pengendalian kenderaan konsesi serta pemandu-pemandu yang menggunakan kenderaan konsesi untuk menjalankan tugas-tugas rasmi,” jelas Romli.
“Peningkatan kadar saman had laju yang melibatkan kenderaan konsesi SPANCO telah mencecah jumlah 72,000 saman juga turut membimbangkan, kerana ini mencerminkan bahawa kebanyakan daripada kita memandu pada kelajuan yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain”.
“Tambahan pula, memandu pada kelajuan yang tinggi juga akan menyebabkan penggunaan bahan api berlebihan. Dalam menyokong saranan kerajaan pada hari ini untuk mengamalkan langkah-langkah penjimatan, pemanduan secara defensif ini serba sedikit dapat membantu dalam menjimatkan penggunaan petrol sekiranya diamalkan kerana pemanduan defensif ini telah terbukti dan diakui sebagai sebahagian daripada eco-driving,” tambah beliau.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Dato’ Hamzah berkata kadar kes kemalangan yang tinggi bukan sahaja melibatkan kerugian wang ringgit, malah ianya turut menjejaskan kelancaran operasi fleet kerajaan apabila sesebuah kenderaan itu tidak dapat digunapakai sepanjang tempoh pembaikan. Bagi kes kemalangan yang serius pula, terdapat kenderaan yang terpaksa dilupuskan dan pengguna perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan baharu. Ini akan mengakibatkan kepincangan terhadap tugasan harian.
Daripada kajian yang turut dijalankan oleh badan-badan profesional, antara punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri seperti tidak mengamalkan pemanduan berhemah, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi had laju yang ditetapkan serta gagal mengekalkan jarak pemanduan yang selamat. Kebanyakan kemalangan boleh dielak sekiranya pemandu itu sendiri mengamalkan budaya pemanduan yang berhemah.