26 Aug SPANCO Iktiraf Rumah Penyayang Ulin Nuha Sebagai Anak Angkat

Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, SPANCO telah menyumbang dana bantuan kepada Rumah Penyayang Ulin Nuha untuk perbelanjaan kos operasi melalui Program Anak Angkat SPANCO.

 

Program ini memberikan bantuan sebanyak RM10,000 setiap bulan dan dana ini akan diteliti semula setelah cukup tempoh yang dipersetujui. Ianya adalah untuk menyediakan keperluan asas serta menampung perbelanjaan harian buat anak-anak Rumah Penyayang Ulin Nuha yang terletak di Jalan Kebun, Klang, Selangor.

 

Malah SPANCO turut menyokong dalam melancarkan Tabung Pembinaan Bangunan Kekal Ulin Nuha bertujuan membiayai pembinaan dua bangunan asrama pelajar lelaki dan perempuan di sebuah tapak tanah yang telah diwakafkan pihak tertentu di Jalan Kebun.

 

Rumah Penyayang Ulin Nuha menempatkan 35 orang anak-anak yatim dan asnaf yang berusia antara 6 hingga 17 tahun untuk 15 lelaki dan 20 kanak-kanak dan remaja perempuan.

 

Buat masa ini, Rumah Penyayang Ulin Nuha masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana perlu memiliki bangunan kekal sebagai syarat kelayakan utama dan proses mendaftar rumah ini dengan JKM dijangka selesai selepas siap pembinaan bangunan kekal yang dirancang.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Dato’ Hamzah Mohd Salleh, program anak angkat itu melibatkan penyediaan tempat tinggal lebih selesa, keperluan asas dan persekitaran lebih kondusif bagi penghuni. Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat SPANCO yang juga merupakan salah satu objektif teras syarikat dalam mendekati masyarakat dan komuniti.

 

Berikutan dengan itu juga pada 24 Ogos lalu, seramai 22 kakitangan SPANCO telah bergotong royong membaik pulih dan menceriakan Rumah Penyayang Ulin Nuha. Manakala pada 26 Ogos, Tabung Pembinaan Bangunan Kekal Ulin Nuha dilancarkan dihadiri Dato’ Hamzah dan Ketua Pegawai Operasi, Dato’ Azman Haji Idris serta Pengerusi Rumah Penyayang Ulin Nuha, Nazilah Haji Idris. Nazilah mengetuai sebuah jawatankuasa bagi menguruskan Rumah Penyayang Ulin Nuha berkuat kuasa 1 Jun lalu.