08 Oct SPANCO MENGANJURKAN KEJOHANAN FUTSAL SEMPENA HARI SUKAN NEGARA 2016
Bangi, 8 Okt 2016 – Sebanyak 70 pasukan lelaki dan wanita bertarung bagi merebut piala Kejohanan Futsal SPANCO 2016, yang merupakan satu-satunya kejohanan anjuran swasta yang diadakan bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2016.
Kejohanan yang menampilkan 64 pasukan lelaki dan enam pasukan perempuan itu berlangsung sebaik sahaja Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Datuk Saravanan a/l Murugan melakukan sepak mula di gelanggang utama di Uptown Sports Futsal Bandar Baru Bangi, pada pagi ini, yang menawarkan piala dan hadiah wang tunai kepada empat pasukan terbaik.
Bagi memastikan peserta tidak pulang dengan tangan kosong, SPANCO juga menyediakan beg cenderamata selain 40 hadiah cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk TV Plasma, peti ais dan beberapa utas jam tangan berjenama.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Dato’ Hamzah Mohd Salleh, kejohanan ini dianjurkan sebagai tanda sokongan pihaknya kepada Kementerian Belia dan Sukan ke arah membina warga Malaysia sebagai bangsa yang aktif bersukan.
“Sebagai sebuah badan korporat yang prihatin, SPANCO sentiasa komited dalam menyokong dan menyumbang kepada kejayaan agenda nasional ini. Ianya terbukti dengan penganjuran kejohanan futsal tahunan SPANCO selama dua tahun berturut-turut sejak 2015,” tambah Dato’ Hamzah.
Sementara itu, Dato’ Saravanan berkata, kementerian maklum bahawa SPANCO adalah satu-satunya warga swasta yang menganjurkan program sendiri sebagai menyokong Sambutan Hari Sukan Negara 2016.
“Kami mengalu-alukan usaha mereka dalam menyokong visi kementerian ke arah membentuk Malaysia sebagai Bangsa Bersukan. Kami berharap lebih ramai lagi pihak swasta yang akan mengikut jejak SPANCO pada sambutan Hari Sukan Negara akan datang,” kata Dato’ Saravanan selepas melakukan sepak mula kejohanan itu, hari ini.
Beliau berkata, Hari Sukan Negara dianjurkan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menjadi lebih aktif di dalam sukan. Sehingga kini, hanya kira-kira 40% rakyat Malaysia yang mengamalkan gaya hidup aktif berbanding 60% dalam kalangan negara-negara membangun.
“Kami ingin melihat rakyat Malaysia turut mengamalkan gaya hidup sihat ini melalui aktiviti- aktiviti bersukan seterusnya dapat menyumbang kepada pengurangan peratusan kes-kes sakit kronik di kalangan rakyat,” kata beliau.
Selepas seharian bertarung hebat, empat pasukan muncul sebagai pasukan terhebat di peringkat akhir Kejohanan Futsal SPANCO 2016. Pasukan Dani FC muncul menjadi juara dalam kategori lelaki di Uptown Sports Futsal Bandar Baru Bangi, pada petang ini.
Pasukan dari Puchong ini membawa pulang ganjaran wang tunai RM1,000.00 serta piala kejohanan. Manakala JPN (ZulFF) mendapat tempat kedua dengan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM800.00 diikuti tempat ketiga Gago FC dan Keempat MBK-FF yang masing-masing mendapat ganjaran RM600.00 dan RM400.00.
Bagi kategori wanita pula, pasukan Diva FC muncul juara selepas menumpaskan Irina FC. Pasukan Lady Bugs mendapat tempat ketiga selepas menewaskan Outcast. Pasukan wanita meraih jumlah ganjaran tunai sama seperti pasukan lelaki.
SPANCO adalah peneraju penyedia perkhidmatan pengurusan fleet (syarikat servis kenderaan kerajaan). Ditubuhkan pada 16 Ogos 1988, SPANCO menguruskan lebih 100,000 kenderaan. Semenjak itu, SPANCO telah menerima pelbagai sijil pengiktirafan berprestij dan peringkat antarabangsa di atas kecemerlangan perkhidmatan dan amalan profesional berprestasi tinggi kepada pelanggan.
Pengurusan fleet SPANCO meliputi pelbagai fungsi termasuk pembiayaan kenderaan, penyelenggaraan, telematik, pengurusan bahan api dan penyedia khidmat-khidmat lain. Dengan menyewa, sesebuah syarikat mampu mengelak atau mengurangkan risiko melibatkan penyenggaraan kenderaan.
Hari ini, SPANCO mempunyai fleet meliputi 12,115 kenderaan, 205 pusat servis di seluruh Negara yang melibatkan 34 kementerian dan agensi kerajaan bagi tempoh selama 23 tahun.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi;
Mohamed Shaheeran Mohamed Jalalludin
Pengurus Kanan, Khidmat Pelanggan
Tel : 03-6192 8920
Email : [email protected]
Mohd Fairuz Salleh
Pengurus Kanan, Perancangan Korporat
Tel : 03-6192 8932
Email : [email protected]