18 Jan TEKNIK MEMBREK DENGAN BETUL

 

 

MEMBREK ialah satu kemahiran. Sama seperti aspek pemanduan lain, membrek memerlukan tahap kemahiran tertentu untuk mendapatkan hasil yang betul. Teknik membrek dengan betul bukan saja mengurangkan stres ke atas pemandu dan penumpang, tetapi juga memanjangkan jangka hayat alat ganti dan kenderaan itu sendiri.

Banyak kereta hari ini dihasilkan semakin baik. Rotor brek, pad brek dan komponen lain dalam sistem brek melalui pelbagai proses penambahbaikan saban tahun untuk menjadikan ia mudah dan selamat pada kadar yang sama. Ini bermakna, pedal brek tidak perlu lagi ditekan secara keras atau dalam untuk memberikan cukup tekanan kepada brek supaya dapat menghentikan kenderaan.

 

Berhenti mengejut bukan sahaja dapat menimbulkan situasi kurang selesa buat pemandu dan penumpang, malah boleh menyebabkan minuman tertumpah atau menyebabkan barang-barang di dalam kenderaan yang tidak melekap tercampak di dalam kabin. Terlalu kerap membrek mengejut pula menyebabkan kepanasan yang boleh mengakibatkan permukaan rotor brek meleding.

 

Jadi bagaimanakah membrek dengan baik?

 

METOD PIVOT (PIVOT METHOD)

 

Metod Pivot ialah cara yang terbukti berkesan untuk membrek dengan lembut dan konsisten. Cara membrek menggunakan Metod Pivot ialah:

 

 

a)  Letakkan tumit kanan atas lantai dan biarkan ia dekat dengan pedal brek supaya bola kaki dapat menyentuh tengah pedal.

b)  Rehatkan berat kaki atas lantai semasa mempasakkan kaki ke depan untuk mengenakan tekanan ringan ke atas pedal brek.

c)  Tingkatkan tekanan secara beransur-ansur hingga kereta hampir berhenti sepenuhnya.

d)  Legakan sedikit pedal brek sebelum berhenti sepenuhnya untuk mengelak kenderaan tersentak terlalu kuat.

 

PERKARA PERLU DIELAKKAN

 

1.  HENTAK KAKI

Kita akan secara spontan membrek secara menghentak kaki ketika berdepan situasi mencemaskan. Tetapi tidak perlulah melakukannya jika membrek secara normal. Biasakan dengan Metod Pivot seperti gambar di atas.

 

2.  LETAK BERAT ATAS PEDAL

Sesetengah pemandu sudah terbiasa merehatkan kaki atas pedal brek ketika memandu. Ini bukan saja menyebabkan pad brek cepat haus, tetapi turut menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya lain di belakang kerana lampu brek kereta anda akan kerap menyala dan terpadam secara tidak menentu.

 

3.  JARAK KAKI DAN PEDAL BREK TERLALU JAUH

Jika kaki pemandu tidak rapat dengan pedal brek, pemandu berisiko mengalami situasi hilang pedal brek apabila perlu membrek ketika kecemasan. Sila pastikan posisi kaki dan pegangan stereng yang betul ketika memandu. Anda perlu sentiasa bersiap sedia.

Memahirkan diri dengan teknik ini pastinya menjadikan pemanduan anda lebih mantap dan selesa yang juga membuatkan penumpang gembira. Ini membuatkan sesiapa saja rasa selesa, yakin dan selamat apabila anda sedang memandu.

 

 

Sumber dari: Pandulaju.com.my