
20 Oct Young Belat Juara Bola Keranjang 3×3 SPANCO
KUALA LUMPUR, 14 Okt 2017– Pasukan Young Belat dan pasukan Fairy BLL 6130 menjulang kejuaraan masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita dalam pertandingan Bola Keranjang 3×3 SPANCO bersempena Hari Sukan Negara 2017 di Kompleks Sukan Negara.
Young Belat yang dianggotai pemuda sebaya 24 tahun iaitu Mohd. Ruzaini Mohd. Rashid, Mohd. Azrul Effendy Mohd. Riza dan Muhammad Yusuf Zakaria membuktikan keunggulan apabila menewaskan pasukan Skyhawk dengan mata 6 – 1 seterusnya meraih pingat dan wang tunai bernilai RM1,000 serta tiga sepersalinan jersi kejohanan.
Manakala Fairy BLL 6130 dibarisi Foo Mee Kei, 17, Molly Tan dan Lim Yi Xuan, masing-masing 18, menumpaskan The 07 dengan mata 5 – 4 untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM500, pingat kejohanan dan sepersalinan jersi pertandingan setiap seorang.
Pertandingan tajaan syarikat perkhidmatan fleet kerajaan, SPANCO Sdn. Bhd. yang berlangsung di tapak letak kereta C di Kompleks Sukan Negara itu disertai oleh 1,200 orang pemain pelbagai kategori dari 12 hingga 65 tahun.
Pertandingan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin serta Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO, Dato’ Hamzah Mohd. Salleh.
Gimik istimewa dengan penampilan apabila Perdana Menteri membuat jaringan yang disambut tepukan gemuruh hadirin.
Menurut Dato’ Hamzah Mohd Salleh, SPANCO menaja pertandingan Bola Keranjang 3×3 sebagai memeriahkan lagi sambutan Hari Sukan Negara 2017 seterusnya menanam minat bersukan dalam kalangan warga Malaysia. Katanya, acara sukan seperti pertandingan bola keranjang 3×3 dan berjalan kaki adalah aktiviti popular untuk mengumpul orang ramai selain sesuai disertai masyarakat pelbagai peringkat umur.
“Di Malaysia, hanya 40 peratus rakyat yang mengamalkan gaya hidup sihat berbanding 60% di negara-negara membangun yang lain. Kami berharap inisiatif ini dapat membantu meningkatkan peratusan rakyat Malaysia yang aktif demi mengurangkan statistik pesakit kronik di kalangan rakyat negara ini,” katanya.
“Semenjak tahun 2015 kami telah menyokong Kementerian Belia Dan Sukan memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara dan amat berharap sekurang-kurangnya dapat meneruskan inisiatif ini bagi merialisasikan agenda Kerajaan Persekutuan di masa hadapan,” sambung Dato’ Hamzah.