12 Mar Perancangan SPANCO Bagi 2016 Dan Tahun-Tahun Seterusnya
TAHUN 2015 menyaksikan perkembangan yang sangat memberangsangkan buat SPANCO di mana peningkatan fleet melebihi 12,000 unit di akhir 2015. Ia merupakan lebih lima kali ganda peningkatan iaitu dari 2,200 unit semasa memulakan operasi pada 1994. Secara tidak langsung membuktikan kepercayaan pihak Kerajaan terhadap kemampuan SPANCO dalam menyelaras, menyenggara dan menguruskan fleet Kerajaan Malaysia. Oleh itu, SPANCO telah mengatur perancangan yang kemas untuk tiga tahun penting iaitu 2016, 2017 dan 2018. Berikut adalah perancangan serta pelan-pelan strategik SPANCO dalam memberi nilai tambahan kepada perkhidmatan pengurusan fleet sedia ada seterusnya memberi lebih kepuasan kepada pelanggan.
Bagi kontrak membekal dan menguruskan kereta peronda yang baharu untuk Polis Diraja Malaysia, SPANCO merancang untuk menyerahkan baki 1,300 unit lagi kereta peronda kepada PDRM. Dari jumlah 2,500 unit, setakat ini 1,200 unit telah berjaya diserahkan pada 2015.
Sasaran perancangan untuk menyediakan perkhidmatan yang melebihi perjanjian tahap perkhidmatan (SLA) yang dijanjikan kepada Kerajaan sebagai tanda terima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk membekal dan menguruskan lebih banyak kereta. Contoh: Memperluaskan lagi rangkaian pusat servis diiktiraf (PSD) bagi menampung pertambahan jumlah kereta, yang mana secara tidak langsung akan memberikan perkhidmatan servis yang lebih cepat. Pihak SPANCO juga telah mengambil inisiatif baru dengan menubuhkan satu pasukan khas audit kereta bagi memeriksa kereta-kereta peronda PDRM, memantau dan memastikan ia dijaga dan disenggarakan dengan baik oleh PSD dan juga pengguna.
Untuk peningkatan saiz fleet, berdasarkan dari pertumbuhan organik sebanyak 6%-8% setahun, saiz fleet dijangka akan terus berkembang kepada 14,500 unit pada akhir 2016 dan melangkaui 16,000 pada akhir 2018. Pertambahan itu termasuk yang melibatkan kenaikan pangkat para pegawai awam khususnya dari kalangan doktor pakar.
SPANCO turut menunggu keputusan PROTON untuk mengeluarkan model penggantian Perdana yang baharu pada 2016. Sebelum ini, kesemua 3,000 unit Proton Perdana Baharu yang dikeluarkan oleh pengeluar kereta nasional itu telah berjaya diserahkan oleh SPANCO kepada pengguna rasmi.
Sokongan terhadap tanggungjawap sosial korporat terbahagi kepada empat bidang utama iaitu komuniti, pendidikan, alam sekitar dan keselamatan jalan raya.
Antara yang bakal dilaksanakan ialah membantu Kerajaan menjimatkan kos dalam pengurusan bahan api yang dilaksanakan melalui dua cara iaitu teknologi dan latihan.
Latihan kepada pemandu akan disediakan bagi melatih para pemandu Kerajaan untuk mengamalkan teknik pemanduan yang boleh menjimatkan minyak. Malah matlamat lain yang sama penting juga mampu dicapai seperti pengurangan kemalangan dan nahas jalan raya, pengurangan kerosakan kereta, pengurangan masa rosak malahan dapat meningkatkan kecekapan sektor awam
Pihak Kerajaan pasti akan mendapat manfaat dari dua program tersebut kerana kesan daripada penggunaan teknologi yang lebih canggih dan pemandu yang dilatih dengan sempurna adalah besar bukan sahaja dari segi penjimatan minyak dan pengurangan pencemaran malah keselamatan, kecekapan dan produktiviti akan dipertingkatkan.
Selain itu laman sesawang SPANCO juga akan dipertingkatkan supaya lebih berinteraktif dan lebih mesra pengguna.
Sistem juga akan turut dipertingkatkan dan komunikasi dengan pelanggan akan dipermudahkan seperti pemakluman secara automatik kepada pengguna/ pelanggan mengenai bila kereta akan disiapkan. Peningkatan dalam penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan pengalaman pelanggan dari mula mereka mendapatkan kereta hinggalah kepada semasa memulangkannya.
Dari segi teknologi, SPANCO merancang untuk menjalankan kajian penggunaan model-model kereta yang lebih menjimatkan penggunaan bahan api seperti kenderaan hibrid, elektrik mahupun kenderaan masa kini yang terdapat di pasaran yang menyediakan lebih penjimatan penggunaan bahan api. Ia juga mampu mengurangkan penceramaran alam sekitar melalui pelepasan karbon yang lebih rendah.